Saturday, October 31, 2009

Penjual air tebu dituduh bunuh pembantu rumah.

Buat tatapan anak-anak papa,
Baru beberapa hari lepas papa mencoretkan di dalam FB papa tentang "Perbuatan racial/religion/nation profiling adalah sangat tidak adil. Semua perkara, samada baik atau buruk boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak mengira dia orang Malaysia atau orang Indonesia atau orang Jerman atau orang Melayu atau orang Inggeris atau orang Cina atau orang Arab atau orang Kristian atau orang Islam. Melalui tourism, kita boleh menjadikan manusia saling memahami antara satu dengan yang lain." Mungkin secara lateral, papa mempromosikan keamanan melalui tourism. Tetapi secara intrinsiknya, papa mahu anak-anak papa supaya sentiasa menerima apa sahaja perbezaan sebagai keunikan. Keunikan sesuatu bangsa dan agama. Tidak ada dua orang manusia di dunia ini yang sama, malah telinga kanan dan telinga kiri kita sendiri pun berbeza bentuk dan saiznya. Dan hendaklah kita jadikan perbezaan-perbezaan itu sebagai asas kepada kekuatan kita. Apa yang kurang kepada kita ditambah-baikan oleh kelebihan orang lain. Begitu juga sebaliknya.

Hari ini, awal pagi papa membaca berita di akhbar tentang "Penjual air tebu dituduh bunuh pembantu rumah". Dalam fikiran papa "Ah, jadi kecoh lagi kalau pembantu rumah itu orang Indonesia". Ternyata telahan papa betul. Malah, Menteri Kounselor , Informasi, Sosial dan Budaya Kedutaan Besar Indonesia, Widyarka Ryananta, telah pun memberi komen bahawa langkah mempercepatkan siasatan dan pendakwaan mampu meredakan kemarahan rakyat republik berkenaan. Ini, papa nak pesan pada anak-anak papa, jangan berkelakuan seperti ini. Yang pertama sekali, mati itu pasti akan kita temui bila sampai saat dan waktunya. Allah telah tuliskan bila dan bagaimana cara kematian kita. Menyesali waktu dan cara kematian adalah menyesali takdir Allah. Apa hukumnya menyesali takdir Allah? Kan papa dah ajarkan ilmu-ilmu agama yang elok-elok pada anak-anak papa? Yang keduanya, kenapa mesti marah? Marah pada kematian? Masyaallah. Yang ketiganya, cuba lihat nasib pembantu rumah itu (yang kebetulan orang Indonesia). Tentu dia tidak berpendidikan tinggi, kalau tidak, dia tidak akan jadi pembantu rumah. Begitulah jadinya kalau kita tidak memperkasakan diri kita dengan ilmu pengetahuan. Papa tak mahu anak-anak papa merempat sehingga terpaksa menagih pekerjaan jauh dari tanah air kita. Jadi, bila anak-anak papa dah besar nanti, papa mahu anak-anak papa bukan sahaja bekerja kuat untuk diri dan keluarga anak-anak papa, tapi cubalah berjimat cermat dan membantu keluarga kita yang lain. Jangan pentingkan diri sendiri.

Akhabar juga memetik Menteri itu sebagai berkata "ia juga langkah terbaik mengelak sentimen negatif terhadap Malaysia yang disebabkan beberapa isu sebelum ini". Sekali lagi papa nak pesan pada anak-anak papa, jangan memandang sesuatu perkara cuma dari sudut negatif. Cuba kita positifkan pemikiran kita baru kita boleh maju. Anak-anak papa cuba fikir, kalau tak ada orang yang baik, yang membawa pembantu rumah ini keluar dari tempat kurungan, masakan dia ditemui? Tidak kah kita perlu ucapkan terima kasih kepada orang ini (dia mungkin orang Malaysia, mungkin orang Vietnam, mungkin orang Indonesia, mungkin beragama Hindu, mungkin beragama Islam) yang membantu ini? Pembantu rumah ini (yang namanya Mantik) telah di selamatkan oleh pasukan polis yang membawa beliau ke hospital. Tidakkah kita harus berterima kasih kepada pasukan polis Malaysia ini? Tapi lapuran akhbar tidak ada menyebut Menteri ini berterimakasih. Bukan semua orang jahat dan bukan semua orang baik. Inilah yang papa nak pesan. Mungkin akhbar tidak menyebut tetapi Menteri ini mungkin telah berterima kasih. Anak-anak papa mesti ada sifat berterimakasuh dan bersyukur. Terimakasih kepada orang yang membantu walau sekecil mana sekalipun bantuan yang diberi (walau sekadar mengembalikan senyuman ke wajah kita) . Malangnya (sebenarnya dengan kehendak Allah), Mantik telah kembali ke rahmatullah, dipanggil Illahi beberapa hari kemudian. Kita boleh merancang, sesiapa pun boleh buat planning. Plan untuk bekerja di mana-mana, plan untuk menambah baik taraf hidup dan sebagainya. Tetapi papa nak pesan pada anak-anak papa, perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Kita wajib berusaha tetapi jangan kita menyesali takdir.

In the nutshell (papa dah nak pergi office ni), sekali lagi papa nak pesan pada anak-anak papa, jangan memandang sesuatu perkara yang terjadi itu berdasarkan racial/nation/religion profiling. Semua perkara (baik dan buruk) boleh terjadi kepada sesiapa sahaja dan di mana sahaja. Jangan menyalahkan takdir jika sesuatu buruk terjadi kepada kita dan wajib kita bersyukur jika kita mendapat sesuatu yang menyenangkan. Harap-harap, apa yang terjadi kepada Mantik, akan sama-sama kita mengambil iktibarnya. Kenang betapa pengorbanan Mantik sanggup meninggalkan keluarga demi mencari rezeki, kenang betapa ada manusia yang berhatikan binatang sanggup melakukan sesuatu pada tahap binatang, kenang betapa ada manusia yang berjiwa suci sanggup membantu Mantik yang dalam kesusahan. Yang bersalah tetap harus dihukum.

Papa sayang anak-anak papa.

p/s walaupun begitu, sebagai rakyat Malaysia, anak-anak papa wajib berkelakuan baik. Jagalah nama baik keluarga, bangsa dan negara. Ingat, bukan semua orang sama. Walaupun kita boleh berfikiran positif, ada orang lain yang tidak dapat berbuat demikian disebabkan banyak faktor seperti kemarahan, tahap pendidikan dan latarbelakang keluarga. Kita perlu punya perasaan ehsan. (Ehsan is empathy)

No comments:

Post a Comment