Monday, October 12, 2009

Misi Bantuan ke Padang bersama ASPPI

Saya sampai ke Padang pada hari Sabtu dengan beberapa objektif:
1. Untuk memberi sokongan moral kepada kawan-kawan di sana
2. Untuk melihat dengan mata kepala sendiri kesan bencana kekuasaan Allah
3. Untuk menjernihkan fikiran saya tentang berita-berita sensasi mainan media
4. Untuk menghulurkan sedikit bantuan tenaga dan barangan lain
5. Untuk menguji sejauh mana kekuatan mental saya 'mengembara tanpa rokok'

Sesampai saya di Airport Minangkabau, sahabat saya Pak Joni sudah menunggu bersama dengan Pak Rudolf. Kami berpelukan, gembira bercampur sedih. Suasana di bandara sangat sibuk, menurut kawan-kawan travel agent di sana, lebih sibuk dari mana-mana peak season termasuk hari raya. Tujuan kami ialah ke Pariaman, bersama dengan ASPPI (Asosiasi Professional Pariwisata Indonesia). Kedatangan para sukarelawan dari seluruh dunia, disambut dengan kata-kata semangat oleh masyarakat Padang. Pegawai imigresen juga menyambut kami dengan penuh mesra dan semangat sambil mengucapkan terimakasih tidak terhingga atas kesudian kami bersimpati dengan nasib mereka. Semua pemberian dan bantuan diterima dengan hati terbuka. Keadaan di airport memang betul-betul mencerminkan kebesaran hati mereka menerima tetamu, terasa keikhlasan dan rasa terimakasih mereka, walau tidak diucapkan.

(Semangat warga Padang)

Perjalanan kami ke Pariaman diiringi dengan kereta polis, mempercepatkan perjalanan. Pak Romi menerangkan, kami akan terus membawa bantuan sendiri ke kawasan bencana kerana terdapat bantuan yang tidak sampai, malah ada juga bantuan yang berakhir dikedai-kedai sebagai stok untuk jualan. Ini adalah lumrah manusia, ada segelintir yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Sepanjang perjalanan, kami melalui runtuhan-runtuhan rumah dan bangunan di kiri dan kanan jalan. Gabungan ASPPI terdiri dari mereka-mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam parawisata Indonesia. Turut bersama kami adalah wartawan TV dari Metro TV Indonesia.

(Bersama sebahagian dari pasukan Tourism Soldier ASPPI)

Setiba kami di sebuah kampong pedalaman di Pariaman, kami bergabung bersama pasukan sukarelawan dari Malaysia, iaitu Yayasan Amal Malaysia dan wakil sukarelawan dari IMI iaitu Dr. Maria (dari Brazil) dan Pedro (a male nurse dari Portugal). Saya terkejut kerana berjumpa dengan YB Dr. Mohd Hayati bersama dengan sukarelawan Amal di sana.

(Pasukan Bantuan Perubatan Amal Malaysia)

Penduduk kampong seramai 900 orang mendapat bantuan dari para sukarelawan. Sedih melihat suasana di perkampongan, dengan runtuhan rumah di mana-mana. Lebih menyedihkan lagi apabila mendengan cerita dari Pak Joni, pada hari kejadian gempa itu, setelah rumah mereka hancur, malam itu pula hujan turun dengan lebatnya. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seksanya mereka, dengan anak-anak menangis kesejukan dan kelaparan, pakaian basah kuyup sehelai sepinggang sambil menahan kesakitan akibat kecederaan.


(Seorang ibu sayu di tengah runtuhan rumahnya)

Ada juga suara-suara sinis dari masyarakat setempat mengatakan bahawa kalau tidak kerana gempa, mungkin mereka tidak pernah berjumpa dengan doktor seumur hidup mereka. Ya, Allah mencipta sesuatu kejadian bagi mereka-mereka yang ingin berfikir. Namun, memang mereka bersyukur dengan bantuan yang diberikan kepada mereka. Saya sempat berborak-borak dengan penduduk setempat bertanyakan perasaan dan pendapat mereka sebagai orang biasa (yang sudah semestinya tidak dipengaruhi oleh provokasi media dan internet). Sangat memeranjatkan kerana mereka langsung tidak tahu tentang isu 'hubungan dingin' antara Malaysia dan Indonesia. Isu seperti bekalan yang ditolak, isu pasukan bantuan dari Malaysia yang dilempar batu, isu pasukan Malaysia dipanggil maling, semuanya tidak pernah mereka dengari. Malah wartawan Metro TV yang bersama saya juga tidak tahu isu-isu tersebut! Mereka ada mendengar isu tentang bahan makanan yang dihantar tamat tempoh tetapi mereka tidak melihat itu sebagai isu yang perlu dilihat walau dengan sebelah mata, sehingga mampu menutup fakta bahawa mereka sangat berterima kasih dengan bantuan dari Malaysia. Nampaknya, isu-isu tersebut sangat nyata mainan pihak yang berniat jahat - di Indonesia dan di Malaysia!

(Mengagihkan bantuan makanan dan pakaian)

Seharian kami di Pariaman. Baju yang dipakai sudah basah kuyup dek peluh. Cuaca amat panas. Kami dijamu dengan air kelapa muda. Best! Setelah seharian di Pariaman, kami pulang ke Padang. Hari kami rasanya tidak cukup lengkap kalau tak pekena teh tarik di Restoran Malabar. He he. Saya berharap, tidak ada sesiapa yang akan claim teh tarik sebagai budaya mereka. Nanti saya kempunan.

(Teh Tarik - tetap sedap walau dibuat di Indonesia)

Malam itu, saya bermalam di rumah Pak Joni. Alhamdulillah, terasa kemesraan sesama saudara serumpun. Sepanjang bersama Pak Joni dan Pak Rudolf, banyak ilmu-ilmu dapat kami kongsi bersama. Topik-topik perbincangan meliputi hal-hal perniagaan, pengurusan, sosialogi, agama, budaya dan sikap. Kami bersepakat untuk sama-sama menolak propaganda-propaganda jahat yang sengaja mahu melihat persaudaraan antara dua negara menjadi berantakan.

Sehari bersama pasukan bantuan memberi kepuasan kepada saya. Puas kerana dapat memberikan walau sedikit senyuman pada wajah mereka. Puas kerana banyak persoalan sudah terjawab. Puas kerana melihat kawan-kawan berganding bahu bertungkus lumus membantu sedaya mungkin. Puas melihat kemesraan antara yang membantu dan yang dibantu. Dan puas kerana berjaya membuktikan kepada diri saya sendiri bahawa saya semakin kuat mengharungi hari-hari tanpa rokok.

2 comments:

  1. Terima Kasih salam dari Momod www.pariwisata.net ASPPI

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas Postingnya....Semoga postingan ini bermanfaat bagi semua rekan-rekan baik di Indonesia maupun Negeri Sahabat Malaysia.
    Jangan sampai kita mudah untuk di Propaganda yang akhirnya akan menghancurkan diri kita sendiri.
    Salam Asppiers.

    ReplyDelete